fi zilal tarbiyyah
Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.
Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!
Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.
Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!
Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…
uhubbukum fillah abadan abada….
dipetik daripada:coretan seorang sister setelah 6 tahun di luar negara
No comments:
Post a Comment