Thursday, June 14, 2012


Sahutan kasih sayang Sang Cinta.., 


kredit to k.tini aka mualimah
Minggu ini macam-macam perkara berlaku, exam, motor rosak tengah highway dan "kesesakan Mr.D"..semua berlaku sekelip mata je.. macam bunga-bunga kering kat atas rumput tu.. tak sedar pun bilalah ia wujud..sampailah part Allah uji dengan kesusahan yang betul2 mencabar kudrat seorang wanita dan keterbatasan sehingga memerlukan pertolongan yang tak lain adalah Allah azza wa jalla. bila berlaku benda-benda macam ni its remind me about satu ayat dalam surah al ankabut:2:

Firman Allah swt:

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?

dan lagi satu ayat dalam surah al baqarah: 155-156. Firman Allah taala:

Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan , kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-rang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata " Innalillahiwa inna ilaihi rajiun" (Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali)


hmm..asal tetiba banyak pulak air masin kat pipi ni..

Saat motor rosak di highway.. tak dapat bayangkan diri ini akan menolak motor walaupun kat uni dulu pernah jugak tolak motor kalau tayar bocor atau minyak motor ting tong..tapi mencabar kut..kat dalam hati tak henti-henti minta pada allah supaya tolong diri ni.. last-last memang ada hamba Allah yang tolong (moga Allah sahaja yang dapat mengganjarinya selayaknya)..hamba Allah nilah yang tolong heret dengan motor dia guna penyangkut kakinya..serius waktu tu takde dah nak fikir orang ni jahat ke apa..sebab percaya sangat-sangat allah akan ada bersama-sama dalam setiap ujian yang dia bagi..(teringat kata2 pakcik yang menolong ni..berbahasa kau dan aku sahaja: 

Pkck H.M: "Jangan risau, kau budak baik, mesti Allah tolong"
Diri sendiri: "insya allah" (dalam hati sambil minta Allah berikan kemudahan dan janganlah sampai menyusahkan orang)..lidah kelu tidak terkata..

 Allah takkan biarkan hambanya susah sorang-sorang..ditambah pula apabila mendengar rintihan dan keluhan sang hambanya, takkanlah Dia yang maha Pengasih nak biarkan? tak kan sekali-kali kan? Allah akan datangkan ujian pada hambanya yang Dia cintai.. sebab Dia tak nak hambanya tu jauh darinya, melupakannya walau sesaat pun..  Dia tahu sangat apa kelemahan hambanya dan adakalanya Dia memberi nikmat pada hambanya untuk uji sama ada semakin bertambahkah cinta hambanya pada Dia atau sebaliknya..jika sebaliknya apalah gunanya Dia memberi nikmatnya jika hamba yang Dia cintai semakin menjauh darinya..T_T..

Jadi ditariknya nikmat-nikmat yang buat hambanya leka sangat tu supaya dia kembali semula pada Pemberi segala Nikmat ..masa tu terdetik dalam hati..kalau meminta pada manusia ..susah mereka nak faham dan mengerti kesusahan kita..yup memang betul...hati kita pun rasa tak puas je..

Tapi bila kita mengadu pada Allah kesusahan dan kesedihan hati ni..dengan mudahnya Allah hantar bantuan dengan kirimkan orang-orang yang baik hati tolong bagi Mr.D untuk repair motor dan naqibah yang tetibe call .. its so surprise.. sweettttnye Allah sebab Dia  hadirkan instinct dalam hati hamba-hamba yang dia cintai untuk membantu hambanya yang sedang dalam kesusahan.. semua benda ni serius saya terharu dengan Allah..terharu dengan kasih sayangnya..terharu dengan cintanya.. kalau orang bercinta takkanlah dia nak biarkan je orang yang dia cintai dalam kesusahan..never..

Begitu juga kita..jangan rasa tak sedar diri..pertolongan manusia tu sebenarnya Allah lah yang ilhamkan padanya..jadi rasa syukur tu sepatutnya ditujukan pada Allah..Allah yang tak pernah nak balas dendam semula kalau kita sebagai hambanya ni wat lalai, wat sakit hati Dia...Allah tak pernah pun biarkan je walau hambanya dah buat Dia camtu..

~Allah ampunkanlah aku..Jadikanlah aku hamba yang sentiasa bersyukur dan meletakkan Engkaulah yang teratas dalam hatiku.. sujud taubat sungguh2 padaMu ya Allah~ T_______________T

Wednesday, December 9, 2009

hati jahiliyah vs hati tarbiyah...

salam akhowat yang dirahmati Allah sekalian...Moga berada dibawah lindungan dan bayangan nur islam...

bercakap pasal hati...mengambarkan satu keadaan yang kita tak dapat jangka kerana hati diterjemahkan sebagai perasaan..satu bentuk rasa yang unik dan kompleks...subhanallah...Maha Suci Allah yang berkuasa mencipta satu bentuk rasa yang tak dapat difikirkan..tak dapat digambarkan kecuali empunya diri itu sahaja yang boleh rasa perasaan mereka sendiri...

bercerita tentang hati jahiliyah...hati yang penuh sangka buruk,hati yang penuh benci dan dendam dan macam-macam lagi keadaan dan perasaan hati jahiliyyah...dan perasaan itu sangat tidak tenang dan memberatkan kepala...

berbanding dengan hati tarbiyah...yang sentiasa berlapang dada dengan apa sahaja yang diterima,yang memaafkan kesalahan saudaranya,yang menyayangi dan mengasihani saudaranya,sangat indah perasaan itu..menenangkan kerana perasaan itu tahu disebaliknya Allah ada sebagai tempat mengadu dan bergantung harapan...Subhanallah..cantik dan indahnya perasaan itu...

dari hati lahirlah akhlak yang menonjolkan penzahiran pada anggota badan..bukankah hati itu raja...jika jahil hati,akhlak pun akan jahil...dan jika hati itu adalah hati yang ditarbiayyah..akhlaknya pun akan lahir sebagai akhlak yang ditarbiyyah....wa Allahu a'alam

p/s: sedang berusaha mentarbiyyah hati sendiri disamping berusaha mentarbiyyah sahabat2...moga Allah merahmati usahaku ini..

Ingat.. kita semua bukan malaikat ! (versi 2)

Ikhwah akhawat

Jaga-jaga dari takabbur dan taajub dengan kerja, cara kerja dan hasil kerja kita. Hasil adalah dari Allah .. bukan hasil tangan kita..walaupun kelihatan hasil kejayaan adalah dari kerja kita.
Syaitan akan datang untuk merosakkan amal kita. Jika tidak berjaya, ia akan datang untuk merosak pahala kita. Kita cubalah yang terbaik. Kita mungkin dapat mengikut jalan yang terbaik .. tapi mungkin kita tidak mendapat pahala terbaik !
Ketika kita mendapat hasil dari kerja tangan kita, kita mula merasai kita adalah terbaik. Mata mula tertutup untuk melihat hasil kerja orang lain.
Betapa mudah syaitan menyia-nyiakan pahala amalan kita…

“Al-Kibr adalah menolak kebenaran dan kamu memandang rendah orang lain.” (maksud Hadis Sahih)
Betapa banyak orang yang hasil kerja tangan mereka kurang menjadi, tapi mereka mendapat pahala yang lebih banyak dari kita kerana keikhlasan mereka dan rasa tunduk tawadhu’ mereka terhadap lemahnya diri mereka. Mereka merasai tidak mencapai lagi tahap yang dicapai oleh orang lain yang kelihatan hebat.

Di mana tahap kita? Berjaya mendidik dan mentarbiyyah ramai manusia, tajmik yang berjaya? Tapi apakah kita memandang kitalah yang terbaik?
Pandangnya kita terhadap diri kita bahawa ‘kita adalah terbaik’, itulah tanda bahawa kita adalah ‘tidak terbaik’ pada diri kita, walaupun amalan kita memberikan hasil terbaik.

Jadi …
Jaga-jaga .. jangan pahala kita tidak sepadan dengan hasil tajmik, penat dakwah dan tarbiyyah yang kita lakukan.. Pahala menjadi kecil atau langsung hilang sedangkan kita sepatutnya berhak mendapat pahala terbaik. Hanya kerana pandangnya kita terhadap ‘hebat diri kita’, dan ‘tidak hebatnya orang lain’.

Seruan ini bukan untuk mengajak kita semua mengurangkan kerja yang kita lakukan… tapi untuk membersihkan kita dari penyelewengan yang mungkin berlaku ketika kita gembira melihat hasil.

Ayuh maju lebih kuat bekerja… dan lebih berjaga-jaga dengan diri yang sentiasa diintai oleh syaitan di dalam urat-urat diri kita…

Peringatan untuk diri sendiri sebelum orang lain !


petikan dari-muntalaq.press.com

Thursday, December 3, 2009

Segalanya permulaan yang tidak betul..

Memang kebiasaannya mereka yang memulai jalan ini akan merasai kemanisan. Kerana mereka belum pernah mengalami suatu bentuk hidup baru yang memang tidak terdapat di luar sana. Dunia luar penuh dengan leka, memenatkan jiwa dan batin dan kerangka kosong yang tidak dapat memenuhi keperluan ruh manusia. Tiba-tiba mereka mendapati suatu yang indah dan tenteram, yang sebelum ini hanya dibaca di dalam buku-buku ‘agama’ tentang manusia silam di awal Islam. Sekarang tiba-tiba mereka dapat merasainya sendiri sekelumit dari nilai-nilai yang hilang ini di dalam hidup mereka. Mula merasai indah dan permai, ibarat sang musafir di padang pasir yang baru ketemu ‘wadi’ dengan air sejuk dan pohon yang teduh.

Tetapi kemanisan ini juga tidak akan dapat bertahan. Ekspektasi mereka yang terlalu tinggi terhadap manusia-manusia tarbawi ini mengejutkan mereka bila berdepan dengan situasi-situasi ‘kurang islami a.k.a jahiliyyah’ dari masyarakat yang dianggap suci pada pertama kali pertemuan. Ada yang terus tersentak kembali, tidak dapat menerima kenyataan dan men’kecai’kan harapan tinggi mereka. Ini juga menyebabkan mereka terus lari, meninggalkan rumah tarbawi ini tanpa notis dan mungkin kembali ke ‘alam asal’ duduk bersendirian, kalaupun tidak membenci dan mengutuk para ‘masyarakat tarbawi’ ini.

Ini semua adalah kesilapan titik tolak juga.

Kita belum menggunakan sepenuhnya ‘rezeki’ kita !

Masa kita, sihat kita, lapang kita, muda kita, IQ kita….

Banyak benda yang dianugerahkan Allah kepada kita. Setiap kita menggunakannya seharian. Pelajar penat studi, pekerja penat ke tempat kerja, mengira jika dia si akauntan, merawat jika dia si doktor, menulis dan berfikir jika dia si manager. Tetapi untuk apa habis kudrat yang ada seharian digunakan? Pada hujung hari, mereka penat dan kemudian perlukan rehat. Begitulah putaran hidup.

Tetapi siapakah yang telah menggunakan habis-habisan apa yang ada padanya untuk Islam? Apakah agaknya jika terdapat 10 orang dari manusia yang siang malamnya berfikir, bekerja, menggunakan otak dan hatinya, menggunakan semaksima tenaga dan rohnya untuk Islam? apa jika 100, 1000?

Tentu Islam akan berkembang, akan mara dan tinggi sebagaimana tingginya syarikat-syarikat korporat Petronas, TM dan Celcom.

Tetapi siapa yang akan berbuat begitu? kerana tiada gaji yang dibayar untuk pekerja Islam sebegitu lumayan. Pahala suatu yang tidak kelihatan. Akhirat tidaklah secerah dan se’clear’ yang keluar dari mesin ATM. So tidak hairan, Islam tidak naik-naik senaik menara Petronas dan Telekom.

Moga anda orangnya yang mula mengorak untuk memaksimakan masa, fikiran dan apa yang ada… untuk Islam.

bukan untuk si manja…. !

Pencerahan bukan untuk orang manja

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.
Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami,
-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan.
Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.

-yang cepat mengalah,

-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara ‘penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute.
Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.
Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.

Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah.
Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.

Cuma tanpa pencerahan,
Tanpa tarbiyyah,
Tanpa dakwah
Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.

Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri.
Terlalu kerap menuturkan.
“saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”
Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu.
“amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”

dipetik daripada- jzklh n.a.l dari jepun




p/s: merenung diri-sendiri yang masih dalam proses pembaikian diri....

Fi Zilaalit-Tarbiyyah…

fi zilal tarbiyyah

Alhamdulillah, puji dan syukur hanya kepada Allah, yang telah memanjangkan usia ku, dan membawa ku menjejakkan kaki ke bumi tempat ku belajar, agar aku dapat merasai indahnya hidup di bawah bayangan tarbiyyah.

Hidup di bawah bayangan tarbiyyah merupakan hidup yang cukup bermakna, di mana setiap saat hela nafasku itu bukan sia-sia, hidup yang matlamatnya telah jelas, tanpa ragu dan tanpa berpaling ke belakang lagi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dibawa mengenal kembali Tuhanku. Tuhan yang penuh dengan kasih dan cinta kepada hamba-hamba- Nya. Tuhan yang menjadikan setiap sesuatu di langit dan bumi ini hanya untuk kegunaan hamba-hamba- Nya. Tuhan yang telah menjanjikan balasan yang terbaik hanya untuk hamba-hamba- Nya yang tunduk dan patuh kepada-Nya. Tuhan yang menyediakan syurga terindah, hanya untuk hamba-hamba- Nya yang beriman dan yakin kepada-Nya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menginsafi pengorbanan besar yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Baginda sangat bersungguh-sungguh menyebarkan dakwah ini, walaupun diancam bahaya. Baginda tidak pernah mengenal erti kalah dalam menyampaikan risalah ini, yang telah menunjukkan contoh yang terbaik kepada kita bagaimana untuk meniti jalan dakwah ini. Baginda yang sangat indah budi pekertinya dan tinggi kecintaan terhadap umatnya.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mendapat semangat baru dari pengorbanan para sahabat dan tabiin. Kesungguhan mereka untuk menghulurkan baton risalah ini sehingga Islam dapat kita kecap walaupun terletak jauh dari tanah Arab. Mereka tidak jemu meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah, sehingga Islam mampu tersebar hingga ke Eropah (tempat aku sempat belajar). Hidup mereka telah diwakafkan sepenuhnya untuk menyampaikan dakwah, walau terpaksa meninggalkan tanah kecintaan di Mekah dan di Madinah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku mengerti, bahawa matlamat hidupku tidak terbatas kepada cita-cita dunia. Terbatas hanya kepada kejayaan meraih ijazah dan kemudian mendapat pekerjaan, kemudian berkahwin dan mendapat anak. Setelah itu melihat anak-anak membesar sambil menunggu untuk naik pangkat, lalu beberapa tahun kemudian menanti pencen dan menunggu ajal…!

Matlamat hidup ini sebenarnya lebih besar dari itu, lebih besar dari batas usia yang diberikan kepadaku. Matlamat hidup yang diwariskan sejak Nabi Adam lagi, sehinggalah ke hari ini, yakni hidup mengimani kalimah, ‘Tiada Tuhan selain Allah.’ Hidup yang berpusat untuk mencari keredhaan Allah, mengikut sunnah yang ditinggalkan oleh Rasulullah. Hidup yang berputar di sekitar membawa manusia lain mengikut jalan yang menjanjikan kebahagiaan yang hakiki. Jalan menuju syurga abadi.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah, dan aku melihat, betapa besarnya potensi setiap manusia itu jika digunakan sepenuhnya untuk Islam. Sememangnya setiap manusia itu telah Allah jadikan dengan keistimewaan dan bakat masing-masing, terserah kepada diri sendiri ke mana hendak disalurkan, ke mana hendak dicurahkan. Alangkah ruginya jika potensi ini disia-siakan untuk cita-cita dunia yang hanya sementara! Alangkahnya sayangnya jika potensi ini dibiarkan dorman, tidak diserlahkan untuk kebaikan umat! Alangkah malangnya jika potensi ini disalahgunakan untuk membawa panji-panji syaitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari tanggungjawab yang tersedia untuk aku pikul demi membantu umat ini. Aku sedar aku punya bahagian yang mampu aku sumbangkan, dalam kapasiti dan situasiku, yang pastinya tidak tetap dan akan berubah-ubah. Pasti waktu belajar tidak serupa seperti waktu bekerja. Waktu bujang tidak akan sama seperti waktu berumahtangga. Waktu berdua tidak akan sama seperti waktu sudah beranak lapan. Keadaan akan berubah, tetapi matlamat tidak akan pernah berubah. Tanggungjawab menyampaikan risalah ini harus tetap diteruskan, walaupun dari rumah!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dikejutkan dengan kesedaran yang aku perlu menjadi yang terbaik dalam profesionku. Allah menyukai apabila hamba-Nya melakukan sesuatu, dia melakukannya dengan terbaik. Tidak ada istilah meninggalkan kejayaan dunia untuk meraih akhirat, kerana dunia juga perlu dibajak untuk dipetik hasilnya di akhirat kelak. Aku perlu menjadi yang terbaik kerana seorang Muslim itu seharusnya menjadi contoh dan imam kepada ummah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku dididik untuk melihat manusia dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Terutama sekali kepada kedua orang tuaku, yang telah mendidik dan memeliharaku sejak kecil.. Yang telah bertungkus lumus membesarkan aku, memastikan cukup segala keperluanku. Ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan aku. Bapa yang bersusah payah mencari rezeki untuk menampung keperluan keluargaku.

Aku juga dididik untuk melihat setiap manusia di sekelilingku sebagai potensi mad’u yang harus dikasihi dan disentuh dengan cahaya Islam. Kita merupakan daie, bukan penghukum. Jadi setiap interaksi kita harus disulami dengan hikmah, agar dapat menjinakkan hati untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Allah.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku melihat keindahan ukhuwwah yang dibina semata-mata kerana Allah. Setiap muslim itu bersaudara, dan Allah menjadikan perbezaan antara kita sebahagian daripada rahmat-Nya. Dijadikan kita berbeza agar kita mengenali antara satu sama lain, agar kita berpesan-pesan dalam kebaikan dan kesabaran. Ukhuwwah adalah salah satu sisi kekuatan kita. Tanpa ukhuwwah, siapalah kita?

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku merasai kepayahan meninggalkan jahiliyyah yang barangkali sudah lama sebati dalam diri sebelum benar-benar mengenali Islam. Memang kita takkan mampu menjadi sempurna, walau seribu tahun pun kita di jalan ini. Tetapi tarbiyyah itu satu proses, yang perlu pada istiqamah dan kesungguhan, juga keikhlasan. Selangkah demi selangkah kita memperbaiki diri, walau jatuh, kita harus bangun kembali.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk mengemudi sekumpulan manusia yang sama-sama ingin melihat Islam kembali di tempatnya, yakni sebagai cara hidup yang sepatutnya. Pergeseran sesama ahli dalam suatu jemaah itu memang tidak dapat dielakkan, kerana latar belakang, pengalaman dan personaliti yang mungkin jauh bertentangan. Namun kefahaman dan keikhlasan yang benar menjadi penyuluh jalan keluar dari sebarang persengketaan, sebagai ubat merawat luka sepanjang perjalanan. Kerana matlamat kita masih jauh, dan kerja kita lebih banyak dari masa yang diperuntukkan.

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku menyedari bukan mudah untuk terus istiqamah di atas jalan ini. Pelbagai fitnah akan sering menghujani, setiap masa syaitan dan konco-konconya takkan berhenti meracuni. Fitnah yang kadangkala begitu halus, langsung tidak disedari, membawa kepada perpecahan amal jama’ie. Sejarah dahulu sudah lama membuktikan, jalan ini takkan sunyi dari pelbagai fitan!

Aku hidup di bawah bayangan tarbiyyah dan aku berharap agar terus tsabat di jalan ini. Kerana di sini tempat kutemui diriku, cintaku, matlamat teragungku. Di sini langkahku telah bermula, dan semoga di sini juga langkahku akan berakhir. Semoga aku dan cintaku akan terus di sini, berhimpun bersama-sama mereka yang telah hadir sebelumku. Di bawah bayangan tarbiyyah ini…

uhubbukum fillah abadan abada….

dipetik daripada:coretan seorang sister setelah 6 tahun di luar negara