Monday, November 9, 2009

ISTIMEWA buat SAHABIATKU.....




Di dalam satu hadis Rasulullah, daripada Umar bin Khattab r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda;

“Sesungguhnya sebahagian dari hamba Allah terdapat sekelompok manusia. Mereka itu bukan dari golongan Nabi dan tidak pula dari golongan syuhada, akan tetapi para Nabi dan syuhada merasa iri atas kedudukan mereka di sisi Allah Ta’ala. Mereka berkata: ‘Hai Rasulullah, tolong beritahu siapakah mereka itu?’, kemudian jawab Baginda (s.a.w): ‘Mereka adalah suatu kaum yang saling mencintai kerana Allah Taala bukan atas dasar hubungan keturunan di antara mereka, dan juga bukan kerana wang yang mereka berikan. Maka demi Allah Ta’ala, sesungguhnya wajah mereka memancarkan cahaya, cahaya yang sangat terang. Mereka tidak merasakan takut ketika orang lain merasa takut, dan mereka tidak merasa khuatir ketika orang lain dilanda kekhuatiran”.

Sahabat merupakan satu anasir yang setiap insan pasti tidak boleh hidup tanpa mereka. Lihatlah betapa Allah Taala memuliakan sebuah persahabatan sehingga menjadi suatu yang diirikan oleh golongan para Nabi a.s. dan para syuhada.

Syaratnya apa? Syaratnya, persahabatan yang terjalin hendaklah di atas landasan iman. Kasih sayang antara mereka adalah untuk masing-masing melihat pembentukan diri yang dihalatujukan untuk memperoleh keredhaan Yang Maha Esa.

Isu mencari sahabat terutamanya bagi pelajar yang tinggal di bumi yang jauh dari keluarga dan jauh daripada undang-undang Islam sangatlah relevan dan perlu diberikan perhatian. Di bumi UK dan Ireland ini khususnya, bejana minda kita banyak dipenuhi oleh pengaruh-pengaruh barat yang melalaikan. Kita dihidangkan dengan visual-visual dan fahaman-fahaman yang tiada lain selain berobjektifkan kepuasan hawa nafsu dan materialistik.

Renungilah kembali apa yang dikhuatiri oleh malaikat ketika mana Allah s.w.t. memerintahkan beliau menjenguk api neraka dan syurga. Beliau sangat khuatir banyak manusia akan terperangkap dengan kenikmatan dunia yang mengalpakan yang diletakkan di sekeliling api neraka. Dalam pada itu, kesengsaraan dan penderitaan dalam perjuangan menaikkan Islam yang memagari syurga membuatkan hanya sedikit sahaja antara kita yang mampu dan sanggup menempuhinya.

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya oleh para sahabat, “Apakah ciri-ciri seorang manusia yang boleh dijadikan sebagai teman yang baik? Baginda s.a.w. menjawab (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bersama-sama membantu kita ketika mana kita mengingati Allah s.w.t. dan dia jugalah yang memberi peringatan kepada kita ketika mana kita alpa dan lalai dalam mengingati-Nya”.

Sahabat bertanya lagi, “Apakah pula ciri-ciri sahabat yang tidak baik?” Baginda s.a.w. membalas (dengan maksud), “Dia adalah teman yang bukan sahaja tidak membantu kita semasa kita mengingati Allah s.w.t. malahan dia juga tidak menegur semasa kita alpa dalam dosa dan maksiat.”

Di dalam hadis lain yang biasa kita dengar (dengan maksud), “Dekatilah orang yang menjual minyak wangi. Sesungguhnya bau wangiannya itu akan turut mewangikan kita. Jangan dekati tukang buat besi kerana bau busuk yang ada padanya akan melekat kepada diri kita.”

Renungilah dan hayatilah bagaimana Rasulullah s.a.w. mengajar kita mencari seorang sahabat yang sejati. Teman yang baik adalah teman yang sering mengajak kita untuk melakukan amal kebajikan. Teman yang baik juga saling tegur-menegur bukan kerana untuk menunjuk kepandaiannya tetapi bimbang akan sahabatnya daripada terjerumus kepada dosa dan kemurkaan Allah Ta’ala. Perkara ini turut diajar oleh Allah Taala di dalam kitabNya. Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat ke-28 yang bermaksud,

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.”

Sekarang cuba kita cerminkan kembali kepada diri kita. Adakah insan yang rapat dan hampir dengan kita memiliki ciri-ciri sepertimana yang diajar oleh Allah Ta’ala dan rasul-Nya? Atau adakah diri kita sendiri yang merupakan sahabat kepada orang lain turut memiliki ciri-ciri ini?

Renungi diri kita, adakah selama kita berkawan dengan mereka, pembinaan diri kita dari segi ilmu, akhlak dan segenap aspek kehidupan kita hanya ditujukan untuk mendapat keredhaan-Nya atau adakah sebaliknya?

No comments:

Post a Comment